BERITA


BH lancar set e-buku ulang kaji UPSR


Kuala Lumpur: Unit Pendidikan BH semalam melancarkan Set E-Buku Ulang Kaji UPSR BH Didik yang mengandungi kompilasi latihan ulang kaji dari 2008 hingga 2012.

Pengarang Kumpulan BH, Datuk Mior Kamarul Shahid, berkata set itu ialah produk terbaru Unit Pendidikan BH yang boleh didapati melalui portal pendidikan www.bhpendidikan.com.my.

E-buku dihasilkan berikutan permintaan tinggi ibu bapa dan guru yang mahukan koleksi Didik keluaran lalu, namun sukar memperolehnya. Didik hanya boleh didapati setiap Isnin melalui akhbar BH.

Oleh itu, diharap penerbitan e-buku dapat dimanfaatkan pelajar untuk mengulang kaji menjelang Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), September ini, katanya berucap pada majlis pelancaran produk terbaru itu di Balai Berita, di sini semalam.

Turut hadir seperti didalam Gambar, Timbalan Pengarang Kumpulan BH, Mahfar Ali; Pengurus Besar Pemasaran NSTP, Puteri Shireen Syed Othman; Pengarang Eksekutif (Berita) BH, Norhayati Md Said dan Pengarang Eksekutif (Rencana) BH, Zainor Said.

Lebih mudah diakses

Sambil berharap usaha yang dilakukan untuk meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran itu mendapat sambutan menggalakkan, Mior berkata, bagi memudahkan proses ulang kaji, e-buku yang diterbitkan dengan kerjasama Media Prima Digital itu turut menyediakan skima jawapan bagi memudahkan pelajar membuat semakan sendiri.

Sementara itu, bakal calon UPSR, Nur Najwa Ayuni Radznee, 11, berkata kompilasi latihan dalam bentuk e-buku itu akan membolehkan ulang kaji dilakukan dengan lebih mudah kerana boleh dibuat pada bila-bila masa dan di mana saja tanpa perlu membawa buku yang tebal dan berat.

No comments:

Post a Comment